Follow blog saya kalau sudi :)

Tuesday, January 10, 2012

KB- implikasi

3.0       IMPLIKASI MENGUASAI KEMAHIRAN BERFIKIR KEPADA PROSES PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN (P&P).

Soalan: implikasi menguasai kemahiran berfikir kepada proses pengajaran dan pembelajaran (p&p)

‘‘Guru yang cuba mengajar tanpa menimbulkan dan menyemarakkan keinginan dan semangat belajar pada murid-muridnya, sama sahaja dengan orang yang menmpa besi dingin’’
   Kata- kata di atas ini adalah dari Horace Mann, yang menerangkan bahawasannya seorang guru yang gagal mendidik anak muridnya dan meninggalkan kesan yang positif ke dalam diri mereka adalah sia-sia. Oleh itu, sebagai seorang guru yang inovatif, kemahiran berfikir yang diaplikasikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran perlu menunjukkan kesan yang positif kepada anak murid dan prestasi mereka.

            Dengan menggunakan kemahiran berfikir secara kreatif dan kreatif, dapatlah guru mengesan tahap kemahiran pelajarnya sama ada lemah, sederhana mahupun cemerlang. Ini kerana tahap kefahaman dan kemahiran seseorang dengan yang lain adalah berbeza. Contohnya, dalam satu kelas, seorang guru member bayangan kepada anak muridnya supaya melukiskan suatu benda yang disebutkan ciri-cirinya.  Fokusnya benda itu akan menjadi pokok. Pada pelajar yang tahapnya lemah, mungkin dia tidak dapt melukiskan pokok itu dan pada pelajar yang sederhana pokok itu mungkin tidak sempurna lukisannya. Bahkan pada pelajar yang cemerlang dia berjaya melukiskan objek yang gurunya bayangkan sebentar tadi.

            Tambahan pula, dengan kemahiran yang diaktifkan guru dapat merangsang pemikiran pelajar dalam sesi pengajaran dan pembelajaran dengan menanyakan pelbagai soalan seperti kuiz, teka teki mahupun Sudoku. Dengan kepelbagaian aktiviti menjadikan pelajar seronok untuk belajar, sekaligus pembelajaran itu mudah difahami dan dihayati malah disukai mereka.

            Dengan penghasilan alat bantu mengajar, ia menonjolkan lagi kreativiti guru tersebut dalam mempelbagaikan kaedah pengajarannya. Ia akan memberi impak yang positif kepada pelajar dengan mewujudkan sikap ingin tahu dikalangan mereka. Malah, pelbagai persoalan akan timbul dalam pemikiran mereka. Oleh itu, pemikiran murid akan bercambah dan terbuka lebih luas lagi dan rasa bersemangat untuk mengutarakan persoalan mereka kepada guru agar diberikan jawapan.

            Selain itu, dengan berfikir secara kreatif, guru dapat memberikan idea dan nasihat kepada anak murid dalam sesi pembelajaran. Tidak dinafikan guru adalah seorang pembimbing yang menunjukkan kebenaran kepada murid untuk mencari dan mengeksplorasi sesuatu perkara baru yang tidak diketahuinya. Sebagai pembimbing kepada mereka, implikasi yang penting dalam pemikiran ialah berfikir secara meluas dan tidak terkongkong dalam subjek tertentu malahan mengembangkannya dengan memberi contoh persekitaran yang mudah difahami.

            Tambahan pula, bagi pelajar yang berjaya mengaplikasikan kemahiran mereka dalam berfikir, mereka tidak dapat disangkal lagi dalam membuat suatu keputusan yang bernas. Ini kerana, sesuatu keputusan yang dibuat mereka mestilah memikirkan akibat dan hikmah keputusan dilakukan. Sekiranya akibat yang perlu ditanggung adalah berat, mereka berani menghadapinya. Sebagai contoh, murid diberikan satu tugasan oleh guru dan mereka dikehendaki menyelesaikannya dalam berkumpulan. Oleh itu, mereka berbincang dan memikirkan bagaimanacara untuk menyelesaikan tugasan dengan baik dan akhirnya mereka membuat satu keputusan yang dipersetujui oleh ahli kumpulan.

            Lebih- lebih lagi, mereka akan berkeyakinan dalam menentukan suatu matlamat. Moore dan Parker (1986) pula menyatakan bahawa Kemahiran Berfikir “…adalah keyakinan berlandaskan tindakan yang cermat dan disengajakan samada dalam menerima, menolak, atau menagguhkan satu-satu keputusan berhubung dengan satu-satu dakwaan (claims).Dengan terciptanya matlamat, mereka akan berusaha memikirkan cara untuk focus dalam memahami dan menghayati sesuatu subjek dan perkara yang dipelajari dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas mahupun tidak.

            Selain itu, murid akan dapat membina kemahiran tersendiri berdasarkan pemikiran mereka yang ditunjuk ajar. Sekaligus mereka dapat menyedari kelebihan yang mereka miliki dan menonjolkan dalam pembelajaran. Ini kerana, tahap keyakinan yang dibina dapat mencapai matlamat sebenar. Oleh itu, mereka dapat menukarkan sesuatu matlamat itu menjadi realiti dan dapat merasai kelebihan yang dimiliki dengan kejayaan yang dikecapi. Contohnya, dalam subjek matematik memerlukan kemahiran berfikir yang tinggi dalam memikirkan banyak strategi untuk mendapat jawapan.  Dengan itu, matlamat untuk mendapat jawapan itu telah diatur caranya dan apabila idea yang bernas itu digunakan maka tidak mustahil matlamat yan diangankan itu menjadi realiti. Ia sekaligus meliputi kemahiran di dalam pengajaran dan pembelajaran sesuatu strategi penyelesaian masalah.

            Mustahil bagi pelajar jika mereka memahami sesuatu mereka akan cepat putus asa, bahkan mereka akan lebih bersemangat dalam mencipta sesuatu konklusi yang lebih menarik daripada yang dipelajari. Dengan itu juga, pelajar akan lebih minat dalam mempelajari sesuatu dan mengkajinya sebelum guru mengajar. Mereka lebih minat untuk melakukan kajian terlebih dahulu dan menimbulkan persoalan kemudiannya.

            Dengan kemahiran berfikir juga, ia dapat mendidik pelajar agar bersikap sabar dan tekun. Implikasinya dalam pengajaran dan pembelajaran sangat ketara,ini kerana dengan sifat yang diwujudkan ini dapat mendidik anak bangsa yang tekun dan bercita-cita tinggi dalam mencipta sesuatu yang baru dengan keyakinan yang di bina dengan kesabaran. Contohnya, dengan aturan fikiran yang baik maka tidak wujudlah sikap putus asa dalam diri murid-murid.

            Pelajar juga akan berfikiran optimis dan positif senantiasa. Dengan berfikiran yang wajar, mereka akan meninggalkan sifat-sifat yang membuatkan mereka gagal dalam hidup. Sebagai contoh, sikap negatif, kedekut ilmu, sentiasa memberi alasan dan sombong bodoh akan hilang dari diri mereka. Bahkan yang wujud adalah sikap yang positif yang mendorong mereka berjaya dalam kehidupan.

            Kesimpulannya, matlamat yang ingin dicapai dalam wawasan 2020 akan dapat direalisasikan sebaiknya apabila kita mengaplikasikan kemahiran berfikir secara, keatif dan kritis dalam pembelajaran mahupun dalam kehidupan. Selain itu juga,ia dapat melahirkan anak bangsa yang berjaya dalam masa akan dating untuk membina Negara maju dan berjaya dengan kelahiran generasi baru yang kreatif, dinamik, intelek dan inovatif. 

No comments:

Post a Comment