Follow blog saya kalau sudi :)

Sunday, February 12, 2012

PEDAGOGI- kaedah pengajaran tilawah 2

3.0 Kaedah Latih Tubi
Kaedah latih tubi adalah satu aktiviti pengulangan fakta atau ayat atau kecekapan yang dipelajari. Tujuan kaedah ini digunakan adalah supaya pelajar mencapai taraf penguasaan bacaan dan hafazan di samping menjamin kekekalannya dalam ingatan pelajar. Pelajar dapat menyebut dengan fasih dan seterusnya dapat melancarkan bacaan mereka dalam al-Quran. Oleh yang demikian kaedah latih tubi ini amat sesuai bagi mereka yang baru belajar al-Quran, malah kaedah ini sememangnya telah diperaktikkan sejak zaman Rasulullah s.a.w. Saidatina ’Aisyah telah meriwayatkan hadis yang bermaksud :
Rasulullah s.a.w. suka mengulang-ulang suatu perkara kepada para sahabat sehingga mereka mendapat fahaman yang sebenar.
Melalui kaedah ini, pelajar dapat menguasai kemahiran bacaan dan mengingat serta menghafaz ayat al Quran yang telah dipelajari. Pengajaran dan pembelajaran guru akan lebih berkesan sekiranya kaedah ini dilakukan secara berturutan dan berulang kali. Kesesuaian kaedah latih tubi ini dilaksanakan dengan ulangan sebanyak tiga kali. Saidatina ’Aisyah r.a. meriwayatkan sebuah hadis lagi yang bermaksud:
Rasulullah s.a.w mengucapkan tiga kali apabila bertutur dengan satu-satu ayat dan kadangkala satu masalah diterangkan oleh Rasulullah s.a.w. diulang sebanyak tiga kali agar para pendengar cukup jelas untuk memahaminya.
Kaedah latih tubi sangat sesuai digunakan oleh guru kerana melalui kaedah ini guru dapat mengenalpasti kemahiran yang dikuasai oleh setiap pelajar. Kaedah ini juga sangat berkesan untuk pengajaran tilawah al Quran bahagian hafazan dan boleh digunakan untuk aktiviti pemulihan bagi pelajar yang tidak menguasai ayat bacaan dan hafazan. Kaedah latih tubi juga dapat membina keyakinan pelajar untuk menguasai bacaan al-Quran dan menghafaz ayat-ayat yang diajar guru.
3.1 Aplikasi Kaedah Latih Tubi dalam pengajaran.
Aplikasi kaedah latih tubi bagi hasil pembelajaran aras satu. (Ayat hafazan)
- Guru menayangkan LCD yang mengandungi ayat-ayat al Quran yang akan dipelajari. Guru membaca ayat tersebut tiga kali dan meminta pelajar mendengar bacaan guru dengan teliti kemudian mengikut bacaan guru.
- Guru meminta pelajar mengulangi bacaan tiga kali secara kelas dan kumpulan. Untuk menarik minat pelajar, guru memperdengarkan bacaan al Quran oleh qari yang terkenal dari cakera padat.
- Guru menggunakan pita rakaman untuk merakam bacaan pelajar kemudian guru memperdengarkan bacaan tersebut kepada pelajar
- Guru membetulkan kesalahan pelajar dan meminta mereka membaca secara latih tubi hingga dapat menghafaz ayat dengan betul.
Aplikasi kaedah latih tubi bagi hasil pembelajaran aras dua. (Ayat hafazan)
- Guru meminta pelajar membaca ayat secara kelas dan kumpulan. Guru menyoal pelajar tentang hukum tajwid yang terdapat dalam ayat yang dibaca melalui LCD. Guru menerangkan hukum tajwid yang masih belum dipelajari kepada murid dan menerangkan cara bacaan bagi hukum tersebut.
- Pelajar membaca ayat mengikut guru dengan bacaan bertajwid yang betul. Pelajar diminta membaca ayat tersebut secara latih tubi iaitu berulang-ulang sebanyak tiga kali.
- Guru meminta pelajar menghafaz ayat secara individu. Guru perlu memastikan pelajar dapat menghafaz ayat dengan betul dan bertajwid.
Aplikasi kaedah latih tubi bagi hasil pembelajaran aras tiga. (Ayat hafazan)
- Guru meminta pelajar membaca ayat yang dipaparkan di LCD, pelajar membaca secara kumpulan mengikut tahap pelajar.
- Pelajar dalam kumpulan berlatih tubi menghafaz ayat secara berpasangan berperingkat-peringkat bermula dengan satu ayat, sehingga dapat menghafaz dengan betul dan fasih.
- Guru meminta pelajar dari kumpulan pandai membaca ayat dengan bertajwid dan meminta pelajar menyebut nama hukum tajwid yang terdapat dalam ayat yang dibaca.
- Guru meminta pelajar menghafaz ayat seorang demi seorang membaca di hadapan guru. Guru perlu memastikan pelajar menghafaz ayat dengan makhraj yang betul dan bertajwid.
4.0 Kaedah Tasmik
Tasmik adalah perkataan yang diambil dari bahasa Arab yang bermaksud mendengar. Kaedah ini digunakan guru dalam pengajaran Tilawah al Quran melalui aktiviti guru mendengar bacaan pelajar. Kaedah tasmik melibatkan guru dengan pelajar di dalam kelas semasa pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Kaedah ini digunakan untuk menguji tahap pencapaian pelajar dalam penguasaan bacaan dan hafazan al Quran.
Cara pelaksanaan kaedah tasmik, ialah pelajar diminta membaca ayat yang ditentukan oleh guru dengan suara yang kuat (jahar), di hadapan guru. Guru mendengar bacaan atau hafazan pelajar dengan teliti supaya dapat mengesan kesilapan yang dilakukan oleh pelajar dalam bacaannya. Jika terdapat kesalahan, guru akan memperbetulkan kesalahan murid.Untuk menentukan pelajar menguasai tajwid, guru boleh menyoal pelajar tentang hukum bacaan atau hukum tajwid dan maksud tanda-tanda bacaan dalam ayat yang dibaca.

4.1 Pelaksanaan kaedah Tasmik.
- Guru mendengar dan meneliti bacaan pelajar.
Kedudukan guru adalah berhampiran dengan pelajar dengan keadaan berhadapan atau bersemuka supaya guru dapat melihat cara pelajar menyebut kalimah atau ayat.
- Pelajar dikehendaki membaca atau menghafaz dengan suara yang nyaring supaya guru dapat mendengar dengan jelas sebutan dan bacaan pelajar.
- Pelajar membaca secara kumpulan kecil atau individu.

4.2 Kelebihan kaedah tasmik.
- Guru dapat mengesan kelemahan bacaan pelajar dalam waktu yang cepat.
- Guru dapat memperbetulkan bacaan pelajar dengan tepat.
- Guru dapat mengesan dan mengenalpasti tahap kebolehan sebenar pelajar
- Guru dapat memastikan pelajar tidak melakukan kesilapan.
- Guru dapat mendisiplinkan pelajar dengan cara yang berkesan.
Kaedah tasmik sangat sesuai diaplikasikan dalam bidang Asuhan Tilawah al-Quran bahagian ayat bacaan. Melalui kaedah ini guru dapat mengesan dengan cepat penguasaan pelajar terhadap ayat bacaan yang diajar. Bagi mencapai hasil pembelajaran seperti yang dirancang, guru perlu melaksanakan langkah-langkah yang sesuai mengikut aras pembelajaran.

4.3 Aplikasi kaedah Tasmik dalam pengajaran.
Aplikasi kaedah tasmik bagi hasil pembelajaran aras satu.(Ayat bacaan)
- Guru meminta pelajar membaca ayat yang telah dipelajari secara kelas dan kumpulan secara kuat dan nyaring.
- Guru mendengar bacaan pelajar dengan teliti supaya dapat mengesan kesalahan dalam bacaan pelajar.
- Guru meminta pelajar membaca ayat secara individu. Pelajar membaca bergilir-gilir secara individu.
- Guru meneliti bacaan pelajar dan memperbetulkan kesalahan pelajar.
- Guru perlu memastikan semua pelajar dapat membaca ayat dengan betul.
Aplikasi kaedah tasmik bagi hasil pembelajaran aras dua (Ayat bacaan)
- Guru meminta pelajar membaca ayat secara kumpulan. Guru mendengar bacaan pelajar dengan teliti dan memperbetulkan bacaan murid.
- Pelajar diminta membaca ayat secara individu dengan suara kuat di hadapan guru.
- Guru meneliti bacaan pelajar dan membuat pembetulan serta merta kesalahan pelajar.
- Guru menyoal pelajar tentang kalimah dan ayat yang mengandungi bacaan panjang dan pendek.
- Pelajar menjawab soalan guru secara lisan. Guru memberi bimbingan kepada pelajar sekiranya murid tidak menjawab soalan guru dengan tepat.
- Guru perlu memastikan pelajar dapat menguasai bacaan dengan betul mengikut hukum tajwid.
Aplikasi kaedah tasmik bagi hasil pembelajaran aras tiga.(Ayat bacaan)
- Guru meminta pelajar membaca ayat secara kumpulan. Pelajar dikumpulkan mengikut tahap pencapaian. Guru mendengar bacaan pelajar dengan teliti.
- Pelajar diminta membaca ayat secara individu dengan suara kuat di hadapan guru.
- Guru meneliti bacaan pelajar dan membuat pembetulan serta merta kesalahan pelajar.
- Guru menyoal pelajar tentang hukum tajwid yang terdapat dalam ayat yang dibaca.
- Pelajar menjawab soalan guru secara lisan. Guru memberi bimbingan kepada murid sekiranya murid tidak menjawab soalan guru dengan tepat.
- Pada aras ini, guru perlu memastikan pelajar telah dapat menguasai bacaan dengan betul, fasih dan bertajwid

No comments:

Post a Comment