Follow blog saya kalau sudi :)

Saturday, February 11, 2012

PEDAGOGI- kaedah pengajaran tilawah 1

Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran Tilawah al Quran
1. Huraikan kaedah pengajaran yang boleh digunakan bagi hasil pembelajaran aras satu, aras dua dan aras tiga di dalam pengajaran dan pembelajaran Tilawah Al- Qur’an.


1.0 Pendahuluan.
Terdapat berbagai kaedah yang boleh digunakan oleh guru dalam pengajaran dan pembelajaran Tilawah al-Quran. Kaedah-kaedah ini digunakan bertujuan memastikan pelajar dapat menguasai kemahiran-kemahiran dalam Tilawah al-Quran iaitu membaca, menghafaz dan memahami ayat-ayat al-Quran.. Bagi memastikan hasil pembelajaran mengikut aras tercapai, guru perlu bijak dalam memilih kaedah yang sesuai dengan tahap pelajar. Penggunaan kaedah yang pelbagai juga dapat menimbulkan minat pelajar untuk membaca, menghafaz dan memahami al-Quran.


2.0 Talaqqi musyafahah.
Kaedah mempelajari bacaan al-Quran yang tertua dan dipraktikkan oleh Jibril a.s kepada Rasulullah SAW dikenali sebagai “Talaqqi Musyafahah”. Caranya Jibril membaca ayat suci al-Quran kemudian Rasulullah SAW meniru bacaan tersebut dengan diperhatikan oleh Jibril.Setelah itu Rasulullah SAW terus menghafal ayat berkenaan. Seterusnya Rasulullah SAW membacakan kepada para sahabat, para sahabat pula meniru bacaan Rasulullah SAW kemudian diminta dituliskan, seterusnya tulisan itu dibacakan dan dihafalkan.
2.1 Talaqqi.
Talaqqi pada istilah ialah pertemuan antara guru dan pelajar secara bersemuka atau berhadapan. Semasa menyampaikan pengajaran asuhan tilawah al-Quran bahagaian bacaan dan hafazan, guru berhadapan denganpelajar sama ada seorang dengan seorang atau guru berhadapan denganpelajar mengikut kumpulan atau secara kelas.
Kaedah ini amat berkesan kerana guru dapat mengesan pelajar yang mempunyai kebolehan yang tinggi dalam bacaan atau hafazan juga dapat mengesan pelajar-pelajar yang lemah dan tidak dapat menguasai bacaan al-Quran. Melalui kaedah talaqqi ini, guru dapat memperbaiki setiap kesalahan yang dilakukan oleh pelajar seterusnya dapat membantu pelajar yang tidak dapat menguasai bacaan al-Quran dengan mengadakan kelas pemulihan.


2.2 Musyafahah.
Musyafahah pada bahasa : gerakan bibir atau sebutan daripada mulut ke mulut yang diambil dari pergerakan dua bibir.
Musyafahah dari segi istilah bermakskud guru menyebut huruf dan kalimah dalam ayat al-Quran dengan memberi penekanan kepada gerakan bibir, pergerakan bibir guru yang diperhatikan oleh pelajar semasa mengajar bacaan al Quran. Aktiviti ini bertujuan untuk menyebut dengan fasih dan betul di hadapan pelajar supaya pelajar dapat mencontohi sebutan guru berdasarkan pemerhatian mereka kepada gerak bibir guru. Guru boleh mengulang-ulang sebutan kalimah atau ayat al-Quran dengan meminta pelajar memerhatikan dengan guru membetulkan sebutan tersebut.
Pelajar menerima pengajaran dengan mendengar sebutan guru danmelihat pergerakan bibir guru dan menyebutnya. Kaedah ini bermaksud pelajar mendengar bacaan guru sambil memerhatikan pergerakan bibir guru semasa menyebut kalimah atau ayat al Quran. Seterusnya, pelajar membaca seperti guru membaca di samping guru membetulkan sebutan dan bacaan pelajar

2.3 Cara melaksanakan kaedah talaqqi dan musyafahah.
Kaedah talaqqi dan musyafahah dilaksanakan dengan cara guru berhadapan dengan pelajar atau bersemuka. Guru akan memperdengarkan bacaan ayat al Quran sebagai bacaan contoh dan meminta pelajarmendengarnya dan memerhati pergerakan bibir dengan teliti. Setelah bacaan itu diulang oleh guru beberapa kali, guru meminta pelajar membacanya dan guru mendengar dengan teliti dan membetulkan kesalahan bacaan pelajar sama ada dari segi makhraj dan hukum tajwid. Kaedah ini berjalan berterusan sehingga tamat surah al Quran mengikut rancangan mengajar guru pada hari itu.
Cara bersemuka sangat ditekankan supaya murid tahu betul secara amali bagaimana pelaksanaan semua hukum-hukum tajwid dalam bacaan yang meliputi makhraj-makhraj huruf, sifat-sifat huruf dan lain-lain hukum tajwid.

2.4 Aplikasi Kaedah Talaqqi dan Musyafahah.
Aplikasi kaedah Talaqqi dan Musyafahah bagi hasil pembelajaran aras satu. (Ayat bacaan)
Hasil pembelajaran aras satu disasarkan kepada semua pelajar yang terdapat dalam kelas, merangkumi semua tahap pencapaian pelajar iaitu lemah, sederhana dan pandai. Bagi mencapai hasil pembelajaran aras satu, menggunakan kaedah talaqqi dan musyafahah, guru memulakan pengajaran dengan membaca ayat-ayat bacaan al-Quran.
- Guru memperdengarkan bacaan al-Quran dari bacaan guru sendiri supaya pelajar dapat memerhatikan pergerakan bibir dan sebutan guru.
- Guru mempamerkan ayat-ayat dari surah yang diajar melalui LCD, kad carta atau kad manila. Setelah mempamerkan ayat-ayat tersebut, guru membaca ayat-ayat tersebut dan meminta pelajar mengikut bacaan guru.
- Guru meminta pelajar membaca ayat secara kelas, kumpulan dan individu. Semasa pelajar membaca ayat, guru perlu memerhati dan mendengar dengan teliti sebutan pelajar untuk mengesan pelajar yang dapat membaca dan pelajar yang masih belum boleh menguasai bacaan.
- Guru mengumpulkan pelajar dalam kumpulan kecil bertujuan membimbing mereka membaca dengan bacaan yang betul dari segi sebutan dan tajwid. Guru membaca, pelajar diminta memerhati gerak bibir guru kemudian mengikut bacaan guru. Guru membetulkan bacaan pelajar sekiranya terdapat kesalahan dalam sebutan dan tajwid.
Melalui kaedah ini, hasil pembelajaran aras satu dapat dicapai oleh guru dengan berkesan kerana pelajar dapat membaca ayat al Quran dengan betul mengikut sebutan guru. Guru juga dapat membetulkan sebutan dan bacaan pelajar semasa menyampaikan pengajaran dan pembelajaran. Bagi mencapai hasil pembelajaran aras satu, guru perlu memastikan semua pelajar dapat membaca ayat yang diajar oleh guru pada hari tersebut.
Aplikasi kaedah talaqqi dan musyafahah bagi hasil pembelajaran aras dua. (Ayat bacaan)
Bagi mencapai hasil pembelajaran aras dua, (pelajar mampu menghafaz ayat dengan betul dan fasih) guru boleh menggunakan kaedah talaqqi musyafahah ini dengan berpandukan kepada beberapa langkah semasa menyampaikan pengajaran dan pembelajaran.
- Guru memaparkan ayat-ayat al Quran di carta atau di LCD, kemudian guru membaca ayat tersebut. Guru meminta pelajar memerhati gerak bibir guru di samping pelajar melihat ayat yang tertera di LCD.
- Guru meminta pelajar membaca ayat di LCD sambil guru meneliti bacaan pelajar dari segi sebutan atau makhraj dan tajwid.
- Setelah guru berpuas hati dengan mutu bacaan pelajar guru meminta pelajar membaca ayat-ayat tersebut di hadapan kelas.
- Guru perlu memastikan pelajar dapat membaca ayat dengan betul dan fasih.
- Guru boleh menguji pelajar dengan meminta mereka membaca di hadapan kelas atau di hadapan guru.
Aplikasi kaedah talaqqi dan musyafahah bagi hasil pembelajaran aras tiga. (Ayat bacaan).
Aplikasi kaedah talaqqi dan musyafahah bagi hasil pembelajaran aras tiga (pelajar mampu membaca ayat dengan bertajwid), guru boleh menyampaikan pengajaran dan pembelajaran mengikut langkah-langkah tertentu.
- Guru memperdengarkan kepada pelajar ayat bacaan atau ayat hafazan melalui CD. Guru meminta pelajar memerhati ayat tersebut di mushaf al Quran serta mengikut bacaan secara perlahan.
- Guru mengulang beberapa kali bacaan ayat tersebut sehingga pelajar dapat menguasai ayat tersebut. Guru meminta pelajar membaca ayat tersebut secara kumpulan dan individu.
- Guru meminta pelajar yang telah betul bacaannya dari segi makhraj dan tajwid, memperdengarkan bacaan di hadapan kelas.



No comments:

Post a Comment