Follow blog saya kalau sudi :)

Wednesday, February 8, 2012

TITAS- 6.7 Tamadun Jepun


6.7.1  Sejarah Jepun
Sejarah bertulis Jepun bermula dengan kemunculan ringkas dalam teks-tekssejarah Cina pada abad ke-1Bagaimanapun, penyelidikan arkeologi menunjukkan bahawa manusia telah hidup di pulau-pulau Jepun seawal Zaman Paleolitik Awal lagi. Menyusul zaman ais terakhir pada sekitar 12,000 SM, ekosistem Kepulauan Jepun yang kaya menggalakkan pembangunan manusia yang mengeluarkan tembikar terawal yang diketahui semasa zaman JomonSejarah Jepun berselang-seli antara tempoh-tempoh keterasingan dengan pengaruh-pengaruh radikal yang kekadang bersifat revolusi dari dunia luar.
Zaman Pra Sejarah
Pada zaman ais, Jepun tercantum dalam benua Asia dari Sakhalin di utara dan Kyushu di selatan; memudahkan penghijrahan manusia, haiwan dan tumbuhan ke kepulauan Jepun dari kawasan yang kini adalah negara China dan Korea. Budaya Jomon timbul sekitar 11,000 sebelum Masihi dengan berakhirnya zaman ais. Gaya hidup mereka berputik dari cara mesolitik ke neolitik. Masyarakat Jomon juga merupakan penghasil barang-barang tembikar yang terawal di dunia. Difahamkan bahawa kaum Jomon merupakan leluhur kaum Proto Jepun dan Ainu.
Permulaan era Yayoi di sekitar 300 SM ditandakan dengan kedatangan teknologi baru seperti penanaman padi dan sistem pengairan yang dibawa oleh pendatang dari Korea, China dan tempat-tempat lain di Asia.
Era Klasik
Menurut mitos Jepun, negara tersebut diasaskan pada kurun ke 7 SM oleh Maharaja Jimmu. Pada kurun ke 5 dan 6, tulisan Cina dan agama Buddha diperkenalkan ke Jepun dari Korea dan kemudian langsung dari China. Maharaja-maharaja Jepun merupakan ketua pada nama sahaja. Kuasa sebenar terletak pada para bangsawan, pemangku raja dan shogun (gabenor tentera). Permulaan zaman Nara pada kurun ke 8 ditandakan dengan penubuhan sebuah pemerintah yang kuat yang berpusat di bandar Heijokyo (kini Nara). Pusat tersebut kemudiannya berpindah ke Heiankyo (kini Kyoto), dan di sini lahir sebuah budaya klasik Jepun yang dikenali sebagai Heian.
Era zaman pertengahan
Zaman pertengahan era Jepun telah digubal oleh pejuang yang dikenali sebagai 'samurai'. Pada 1185,general Minamoto no Yoritomo adalah orang pertama untuk memecahkan tradisi memerintah sehaluan dengan Maharaja di Kyoto, memegang kuasa di Kamakura, di selatan Yokohama masa kini. Meskipun era shogun Kamakura kelihatan stabil, Jepun kemudiannya berpecah menjadi negeri-negeri yang saling berperang lalu menderita dalam Zaman Sengoku. Pada abad ke-16, pedagang dan mubaligh Eropah tiba di Jepun buat julung kalinya, lalu memulakan zaman "Nanban" ("orang gasar selatan") yang melihatkan pertukaran perdagangan dan budaya yang aktif antara Jepun dan rantau Barat. Pada masa yang sama, Oda NobunagaToyotomi Hideyoshi, dan Tokugawa Ieyasu, mengenakan kawalan yang makin kuat terhadap neger-negeri berperang di Jepun. Akhirnya, Tokugawa menyatukan semula Jepun dengan menewaskan musuhnya diPertempuran Sekigahara pada tahun 1600, memindahkan ibu negara ke Edo (sekarangTokyo) lalu menubuhkan era shogun Tokugawa.
Pemerintah-pemerintah Tokugawa yang sangsi dengan pengaruh mubaligh Katolikmengharamkan segala perhubungan dengan orang Eropah kecuali bagi perhubungan yang amat terbatas dengan saudagar Belanda di Pulau Dejima. Zaman pengasingan ini bertahan selama dua setengah abad, ketika mengalami perpaduan politik yang halus dikenali sebagai zaman Edo, dianggap sebagai kemuncak budaya zaman pertengahan Jepun.
Zaman moden.
Pada 1854, Komodor tentera laut Amerika Syarikat Matthew Perry memaksa pembukaan Jepun ke kuasa Barat dengan Konvensyen Kanagawa. Ramai wira samurai memberontak, melihat apa yang dianggap oleh mereka kelemahan Shogun, dan pemberontakan ini meluas menjadi Perang Boshin 1867-68. Shogun terpaksa meletak jawatan, dan Restorasi Meiji memulangkan kuasa ketua negara ke maharaja. Berbagai-bagai idea institusi Barat mula digunakan semasa era Meiji, termasuk kerajaan moden, sistem perundangan dan tentera. Reformasi-reformasi ini mengubahkan Empayar Jepunmenjadi kuasa besar yang mengalahkan negara China didalam Perang China-Jepun danRusia didalam Perang Rusia-Jepun. Dari 1910, Jepun mengawal Taiwan, setengah pulau Sakhalin, dan Korea.
Awal abad ke-20 melihat tempoh singkat "demokrasi Taisho" ditenggelami oleh kebangkitan peluasan Jepun, mendorong kepada penjajahan Manchuria dan Perang Sino-Jepun (1937). Pada tahun 1941, Jepun menyerang pengkalan tentera laut Amerika Syarikatdi Pearl Harbor, mendorong kedua-dua negara ke kancah Perang Dunia II. Setelah kempen yang panjang di Lautan Pacifik, Jepun kehilangan jajahan yang diperolehi awalnya, dan Amerika Syarikat hampir ke jarak untuk memulakan pengeboman strategik ke atas TokyoOsaka, dan bandar-bandar lain. Jepun menyerah selepas pengeboman bom atam bandar Hiroshima dan Nagasaki pada 1945, kehilangan keseluruhan koloninya di Asia dan Pasifik.
Jepun kekal di bawah penjajahan Amerika Syarikat sehingga 1952. Dalam tempoh itu, ia menerima pakai perlembagaan baru yang menetapkan negara tersebut sebagaipacifist constitutional monarchy. Selepas penjajahan, di bawah program pembangunan industri agresif, dasar perlindungan, dan penyerahan pertahanan strategik kepada Amerika Syarikat, keluaran negara kasar Jepun makin meningkat menjadi yang kedua tertinggi di dunia. Sungguhpun berlakunya kejatuhan pasaran saham yang teruk pada tahun 1989 yang mana negara ini amsih belum peulih sepenuhnya, Jepun masih sebuah kuasa ekonomi dunia dan juga baru-baru ini telah bangkit semula sebagai kuasa strategik dengan meminjamkan sokongan bukan kombat dalam Perang Teluk dan pencerobohan Iraq pada tahun 2003.
6.7.2 Falsafah/Agama Masyarakat Jepun
Terdapat 3 agama yang sangat berpengaruh dalam masyarakat Jepun. Agama-agama tersebut ialah:
    1. Shintoisme
    2. Buddhisme
    3. Konfusianisme
6.7.3       Agama Shinto
Agama khas bagi masyarakat Jepun. Shinto bererti “Jalan Tuhan’ (kami-no-michi). Shinto berkait rapat dengan negara, bangsa dan alam Jepun dan merupakan symbol perpaduan dan kesetiaan kepada maharaja dan negara. Konsep Tuhan dan Dewa Dewi (kami) agak kabur. Terdapat 8 juta Dewa Dewi.Dewi Matahari (Amaterasu-omi-kami)adalah Tuhan yang besar dan Maharaja Jepun dipercayai dari keturunan Dewi Matahari. Agama Shinto tidak mempunyai nabi/pengasas/kitab suci. Pendeta Shinto telah menyusun/menulis kitab untuk rujukan –Shinto Gabusho/Lima Buku ajaran Shinto. Mereka juga tidak ada falsafah dan etika. Semangat berkorban untuk Maharaja/Tuhan ditanamkan ke dalam jiwa setiap rakyat.
6.7.4       Buddhisme.
Agama ini mendapat tempat yang kukuh semasa pemerintahan Putera Shotoku pada 592 s.m. di mana Buddhisme telah dijadikan sebagai agama rasmi. Ajaran Buddhisme ini diterapkan dalam Perlembagaan 17 Artikel (mengandungi pelbagai aspek ajaran Buddhisme dan Konfusianisme)yang mewajibkan kakitangan kerajaan mematuhinya. Beliau juga menekankan pentingnya ajaran Buddha dan menjunjung tinggi “Tiga Harta Suci” iaitu Buddha, Dharma dan Sangha, menghantar pelajar ke China untuk mempelajari Buddha dan menulis 3 buah buku mengenai ajaran Buddha. Buddha Zen adalah ajaran yang paling mendominasi masyarakat Jepun di mana ia merupakan salah satu hasil himpunan alam fakir China yang tidak ingin kepada corak falsafah dan lebih kepada penerangan.
6.7.5 Konfusianisme
Konfusianisme bukanlah satu agama tetapi lebih kepada pengajaran falsafah untuk mempertingkatkan moral dan menjaga etika manusia.
Diasaskan oleh Kung Fu Tze yang lahir di negara China pada tahun 551 S.M oleh ibunya Chiang Tsai yang berumur 15 tahun ketika itu. Kung Fu Tze merupakan seorang yang bijak sejak kecil lagi dan terkenal dengan penyebaran ilmu-ilmu baru ketika berumur 32 tahun. Konfusius banyak menulis buku-buku moral, sejarah, kesusasteraan dan falsafah yang banyak diikuti oleh penganut ajaran ini. Kung Fu Tze meninggal dunia pada tahun 479 S.M.
Ajaran Konfusius :
  1. Amat mementingkan akhlak yang mulia dengan menjaga hubungan antara manusia di langit dengan manusia di bumi dengan baik.
  2. Penganutnya diajar supaya tetap mengingati nenek moyang seolah-olah roh mereka hadir di dunia ini.
  3. Merupakan susunan falsafah & etika yang mengajar bagaimana manusia bertingkah laku.
Konfusius tidak menghalang orang Cina menyembah keramat dan penunggu tetapi yang dipentingkan ialah setiap manusia perlu berusaha menjadi baik. Ia dikembangkan oleh muridnya yang bernama Mencius ke seluruh China dengan beberapa perubahan. Konfusius disembah sebagai seorang dewa dan agama baru tetapi dia sebenarnya adalah manusia biasa. Pengagungan yang luar biasa kepada Konfusius telah menukar falsafahnya menjadi sebuah agama dengan mengadakan perayaan-perayaan tertentu bagi mengenangkannya.
6.7.6 Budaya Kerja Jepun
Jepun merupakan antara negara Asia yang maju dan setanding dengan negara barat. Apa yang penting ialah kegigihan masyarakat Jepun membangunkan negara dan ekonomi mereka perlu dijadikan contoh kepada negara Asia yang lain.  Pada era Meiji, para cendikiawan Jepun telah mengemukakan idea pemodenan Jepun melalui penerapan teknologi maju dari barat di samping mengekalkan dan memelihara semangat kebangsaan. Jepun pernah mengalami kehancuran selepas perang dunia ke dunia apabila dua wilayah mereka di Hiroshima dan Nagasaki di bom dengan teruk oleh pihak berikat. Lanjutan itu, Jepun mengisytiharkan penolakan peperangan buat selama-lamanya dalam perlembangaan baru negara Jepun dan sebaliknya  mereka berusaha untuk bangkit kembali untuk menjadi kuasa terkuat ekonomi dunia dengan member tumpuan kepada pembangunan industri sebagai sebuah negara aman tanpa perang. Kehebatan bangsa Jepun bangun daripada kemusnahan akibat perang adalah hasil daripada sikap positif mereka sendiri dan kejayaan ini tidak dapat dinafikan terhasil dari etika kerja mereka yang cemerlang.
Bermula dari sinilah, kepandaian dunia barat telah ditranformasikan dan disesuaikan dengan semangat masyarakat Jepun. Masyarakat Jepun sememangnya terkenal dengan sikap rajin dan menepati masa, malah mereka mudah untuk tidak mempercayai sesiapa yang malas atau tidak menepati masa. Mereka juga cenderung mengikut kata sepakat kumpulan berbanding dengan pendapat sendiri dan sikap itu membantu setiap individu bekerja sebagai satu kumpulan. Masyarakat Jepun juga amat mementingkan ilmu pengetahuan dan ini terbukti apabila kadar celik huruf di negara Jepun adalah hampir 100 peratus dan kesedaran tentang kepentingan ilmu ini bermula sejak zaman Edo (1603 – 1876) lagi. Pada masa itu anak-anak petani, saudagar dan tukang telah belajar di sekolah swasta yang dikenali sebagai Terakuya.
6.7.7 Peranan Tamadun Jepun Dalam Pembinaan Budaya Masyarakat Malaysia
Pembudayaan tamadun Jepun dalam membina budaya masyarakat Malaysia ini bolehlah dikaitkan secara langsung dengan Dasar Pandang Ke Timur yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad pada 8 Februari 1982.
Dasar Pandang Ke Timur ini bermakna kerajaan akan membuat pengkajian, penelitian dan pemilihan terhadap contoh – contoh dan teladan yang baik daripada negara Jepun dan Korea dengan mengubahsuaikannya dengan keadaan dan kesesuaian di Malaysia.
Adalah tidak tepat jika dasar ini ditakrifkan sebagaikan mengambil apa sahaja dari Jepun dan Korea untuk dipraktik di Malaysia dengan mengetepikan teladan yang juga boleh dipelajari dari negara – negara barat.
Rasional dasar ini ialah kerana seperti yang sedia maklum, Jepun adalah merupakan sebuah negara maju dan beberapa bidang mereka adalah lebih maju dari negara barat sendiri. Kejayaan mereka boleh dijadikan contoh dan teladan kepada Malaysia dan seterusnya diteladani dan dipratikkan untuk pembangunan negara. Antara perkara positif yang diambil dari budaya masyarakat Jepun ialah kerajinan dan disiplin kerja mereka, kesetiaan kepada negara dan perusahaan dan perniagaan di mana pekerja bekerja, member keutamaan kepada kerja kumpulan melebihi dari kerja secara individu, produktif dengan mutu penghasilan yang berkualiti tinggi, meningkatkan kecekapan, mengurangkan jurang perbezaan antara eksekutif dengan golongan pekerja dan sistem pengurusan yang menitikberatkan kejayaan jangka panjang serta lain – lain aspek positif dari budaya dan sikap masyarakat Jepun yang sesuai dan boleh diteladani untuk pembangunan negara dan rakyat Malaysia.
Sebagai sebuah negara membangun, etika dan nilai-nilai kerja di atas diamalkan kerana ia sesuai dengan diterapkan dalam budaya masyarakat Malaysia yang berbentuk majmuk. Dasar ini mewujudkan kerjasama yang rapat antara Malaysia dan Jepun terutama di bidang ekonomi, industry,latihan teknikal dan akademik serta bidang penyelidikan dan pengurusan.
Sebagai kesimpulan, Dasar Pandang Ke Timur merupakan satu usaha positif oleh kerajaan Malaysia untuk meningkatkan lagi prestasi pengurusan dan pembangunan negara. Dasar ini memberi kesan yang besar merubah budaya kerja masyarakat Malaysia dan meninggikan prestasi dan daya pengeluaran negara. Di samping itu ia menjadi asas kewujudan sebuah masyarakat yang dinamik dan progresif.


No comments:

Post a Comment