Follow blog saya kalau sudi :)

Sunday, February 12, 2012

PEDAGOGI- kaedah pengajaran tilawah 3

5.0 Kaedah Soal jawab.
Kaedah soal jawab adalah kaedah yang paling kerap digunakan oleh guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Kaedah ini merupakan interaksi dua hala yang melibatkan pelajar danguru yang memberi kesan positif terhadap kefahaman pelajar terhadap topik atau pelajaran yang dipelajari kerana mereka berpeluang menyoal guru untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai tajuk pelajaran. Kaedah ini telah lama diaplikasikan dalam Pendidikan Islam. Kaedah ini meransang pemikiran pelajar melalui soalan-soalan yang diutarakan oleh guru. Soalan-soalan yang diberikan oleh guru ialah sebahagian daripada interaksi pengajaran dan pembelajaran.
Kaedah ini menggalakkan pelajar menggunakan kemahiran berfikir serta memberi tumpuan terhadap pelajaran dan secara tidak langsung dapat mengelakkan pelajar berfikir tentang perkara-perkara di luar pembelajaran. Dalam pengajaran tilawah al Quran, guru boleh menggunakan kaedah ini dalam bahagian hafazan surah. Guru boleh menyoal pelajar tentang cara bacaan dan hukum tajwid yang terdapat dalam ayat yang dipelajari. Sebelum menyoal pelajar, guru perlu memberikan masa kepada pelajar untuk membaca dan menghafaz ayat dengan betul. Bagi pelajar yang lemah, guru boleh memberi penerangan tentang hukum tajwid dan cara bacaan terlebih dahulu.

5.1 Aplikasi kaedah soal jawab dalam pengajaran.
Aplikasi kaedah soal jawab bagi hasil pembelajaran aras satu. (Ayat hafazan)
- Guru mempamerkan carta mengandungi ayat dan meminta pelajar membaca secara senyap.
- Guru membaca ayat dengan kuat dan meminta semua pelajar mengikut bacaan guru.
- Guru mengulang beberapa kali ayat tersebut dan meminta pelajar mengikut bacaan guru secara kumpulan.
- Guru meminta pelajar mengecam kalimah dan potongan ayat supaya mudah mengingat untuk aktiviti menghafaz ayat.
- Bersoal jawab tentang hafazan surah dari segi menyambung ayat yang dibaca.
- Guru membaca permulaan ayat dan meminta pelajar menyambung ayat tersebut. Untuk menarik minat pelajar, guru menyoal pelajar yang paling cepat menghafaz ayat.
- Guru perlu memastikan semua pelajar dapat menghafaz ayat yang dipelajari dengan betul.
Aplikasi kaedah soal jawab bagi hasil pembelajaran aras dua. (Ayat hafazan)
- Guru memaparkan ayat hafazan di LCD dan memperdengarkan bacaan dari qari terkenal. Guru mengulang beberapa kali bacaan tersebut.
- Guru meminta pelajar mengikut bacaan dan seterusnya menghafaz ayat tersebut.
- Guru membahagikan pelajar kepada kumpulan kecil berpasangan untuk tujuan menghafaz ayat. Guru meminta pelajar menghafaz berpasangan, pasangan pelajar diminta meneliti bacaan pasangan masing-masing untuk dan membetulkan jika terdapat kesalahan bacaan rakan mereka.
- Pelajar diminta memerhati tanda bacaan dan hukum tajwid yang terdapat dalam ayat.
- Guru memulakan sesi soal jawab tentang tanda bacaan dan hukum tajwid. Pelajar menyebut hukum tajwid dan membaca kalimah yang mengandungi hukum tajwid tersebut. Guru memperbetulkan sebutan atau bacaan pelajar.
- Pada aras ini, pelajar perlu menguasai bacaan di samping mengenal hukum tajwid yang terdapat dalam ayat.
Aplikasi kaedah soal jawab bagi hasil pembelajaran aras tiga. (Ayat hafazan)
- Guru meminta pelajar menghafaz ayat secara kumpulan dan individu dengan suara yang nyaring. Guru membetulkan kesalahan yang dilakukan oleh pelajar.
- Pelajar menghafaz ayat secara berulang-ulang sehingga dapat menghafaz dengan fasih.
- Guru menggunakan kaedah soal jawab untuk memastikan pelajar mengetahui hukum tajwid yang terdapat dalam ayat, serta menguasai hafazan dengan cara bertajwid.
- Pada aras tiga, guru perlu memastikan pelajar dapat menghafaz ayat dengan betul dan fasih serta bertajwid.

6.0 Kaedah Penerangan.
Kaedah penerangan merupakan kaedah pengajaran yang lebih berpusatkan kepada guru. Maksud kaedah ini ialah, guru memberi penerangan tentang sesuatu tajuk pelajaran atau isi pengajaran secara lisan. Bagi menghasilkan pengajaran yang lebih berkesan serta memberi kefahaman kepada pelajar, guru perlu menggunakan alat bantuan mengajar seperti gambar, carta atau LCD di samping dapat menarik minat pelajar dalam pelajaran tersebut. Melalui kaedah penerangan, guru perlu memastikan pelajar dapat memahami penerangan yang disampaikan oleh guru dalam sesuatu tajuk.
Melaksanakan kaedah ini, guru perlu memberi perhatian terhadap kedudukan pelajar di dalam kelas supaya setiap individu dapat melihat guru dan mendengar percakapan guru dengan jelas. Semasa memberi penerangan, guru perlu bertutur dengan jelas dan terang serta menggunakan bahasa yang mudah difahami pelajar.

6.1 Pelaksanaan kaedah penerangan.
- Penerangan hendaklah diberikan pada masa yang sesuai seperti ketika menyampaikan pengajaran baru.
- Guru hendaklah menyampaikan penerangan dengan ringkas dan bernas.
- Setiap penerangan guru perlu diikuti dengan soal jawab secara lisan atau bertulis untuk menguji kefahaman pelajar terhadap isi pelajaran yang telah disampaikan guru.
- Penerangan boleh digabungjalinkan dengan teknik-teknik lain seperti soal jawab, perbincangan supaya pengajaran dan pembelajaran lebih menarik.
- Kaedah ini sesuai digunakan untuk pengajaran tilawah al Quran bahagian kefahaman.
Kaedah penerangan sesuai diaplikasikan dalam semua tajuk pelajaran pendidikan Islam. Guru boleh melaksanakan kaedah ini dalam pengajaran dan pembelajaran tilawah al-Quran bahagian kefahaman ayat.
6.2 Aplikasi kaedah penerangan dalam pengajaran.
Aplikasi kaedah penerangan bagi hasil pembelajaran aras satu.
(Ayat kefahaman)
- Guru memperdengarkan bacaan contoh melalui pita rakaman
- Pelajar diminta membaca ayat kefahaman yang akan dipelajari. Guru meminta semua pelajar meneliti kalimah dan ayat yang dibaca.
- Guru menerangkan maksud ayat dengan menerangkan pengertian kalimah.
- Guru bersoal jawab dengan pelajar mengenai erti ayat dan maksud keseluruhan ayat ( pengertian hidayah dan rahmat Allah).
- Murid menyenaraikan isi penting maksud ayat.
Aplikasi kaedah penerangan bagi hasil pembelajaran aras dua.
(Ayat kefahaman)
- Guru meminta pelajar menyebut erti ayat.
- Guru menerangkan tentang isi-isi penting dalam ayat kefahaman ( cara mendapat hidayah Allah )
- Guru meminta pelajar berbincang dalam kumpulan (ciri-ciri orang yang mendapat hidayah Allah).
- Pelajar membentangkan hasil perbincangan mengikut kumpulan.
- Guru mengulas dan memberi penerangan tentang hasil perbincangan pelajar.
Aplikasi kaedah penerangan bagi hasil pembelajaran aras tiga.
(Ayat kefahaman)
- Guru memberi penerangan tentang isi pelajaran maksud ayat ( akibat orang yang tidak mendapat hidayah)
- Guru meminta pelajar menyebut semula isi pelajaran yang telah disampaikan oleh guru.
- Guru meminta pelajar membuat perbincangan dalam kumpulan tentang isi pelajaran ( maksud ayat )
- Murid menyenaraikan isi perbincangan ( ciri-ciri orang yang tidak mendapat hidayah Allah)
- Guru mengulas pembentangan pelajar dan memberi penerangan tentang isi pelajaran seterusnya (perkara yang perlu dilakukan untuk memperoleh hidayah Allah)


7.0 Penutup.
Kaedah-kaedah yang diperkenalkan dalam strategi pengajaran dan pembelajaran, keseluruhannya adalah baik dan berkesan bagi setiap guru dalam menyampaikan pengajaran. Keberkesanan kaedah ini adalah bergantung kepada kebijaksanaan guru menyesuaikannya dengan tahap pencapaian pelajar serta suasana persekitaran dan hasil pembelajaran yang hendak dicapai

No comments:

Post a Comment